SANTIAGO, 11 November - Saintis Chile memberi amaran tentang risiko berterusan terhadap populasi penguin Humboldt yang semakin menyusut, salah satu daripada spesies terhad yang hidup di kawasan pantai berbatu di iklim sederhana, selepas pihak berkuasa mengisytiharkan spesies itu sebagai terancam.
Pantai Pasifik Chile menjadi habitat bagi 80 peratus penguin Humboldt dunia yang masih tinggal, dan saintis di Universidad de Concepcion menganggarkan jumlahnya kini kurang daripada 20,000 berbanding kira-kira 45,000 pada akhir 1990-an.
Organisasi antarabangsa mengklasifikasikan spesies berkenaan sebagai berisiko terancam dan melarang perdagangan komersial, tetapi kementerian alam sekitar Chile baru-baru ini menukar status burung laut ini kepada terancam.
Pakar biologi marin, Guillermo Cubillos dari Zoo Kebangsaan Chile, berkata ancaman terhadap penguin masih berterusan. “Jika ancaman ini berlanjutan, kemungkinan besar spesies ini akan beralih daripada terancam kepada kritikal, dan seterusnya berisiko pupus sepenuhnya.”
Paulina Arce, pakar veterinar penguin Humboldt, menegaskan kematian akibat jaring komersial dan persaingan mendapatkan sumber makanan laut menjadi faktor utama. Beliau menekankan perlunya undang-undang yang lebih tegas bagi memastikan aktiviti perikanan lestari, baik di peringkat industri mahupun kecil.
“Langkah yang dilaksanakan setakat ini tidak berhasil. Mengklasifikasikan semula spesies tidak berguna jika tidak disertai tindakan memastikan penguin terus hidup dan mendapat makanan di habitatnya,” kata Arce.
Beliau menambah, perundangan adalah kunci untuk “hidup selari dengan alam semula jadi, bukan hanya melihatnya sebagai sumber yang boleh dieksploitasi.”-REUTERS