fb fb fb fb fb

Lebih 1,200 kes denggi baharu dilaporkan di Sindh, Pakistan

FOTO HIASAN

ISLAMABAD, 11 November - Lebih 1,200 kes demam denggi baharu dilaporkan pada Selasa di seluruh wilayah selatan Sindh, Pakistan, yang turut mencatatkan satu lagi kematian akibat penyakit bawaan nyamuk itu, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 27 orang sejak Oktober, lapor pihak berkuasa kesihatan tempatan seperti yang dilaporkan oleh Xinhua.

Menurut Jabatan Kesihatan wilayah itu, kematian terbaharu melibatkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang meninggal dunia akibat demam denggi di Hospital dan Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Sindh di bandar raya Karachi.

Data jabatan menunjukkan daripada 7,548 individu yang diuji bagi denggi dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 1,212 disahkan positif.

Dengan peningkatan terkini itu, jumlah kes denggi di wilayah Sindh bagi November mencecah 7,173 kes, menjadikan jumlah kumulatif bagi tahun ini meningkat kepada 12,750 kes. Ketika ini, 257 pesakit sedang menerima rawatan di hospital awam manakala 176 lagi di hospital swasta, menurut laporan itu.

Pakar kesihatan menggesa kerajaan wilayah untuk mengisytiharkan darurat kesihatan di bahagian yang paling terjejas serta melancarkan operasi kawalan nyamuk secara segera.

Mereka juga menyeru agar audit bebas dijalankan terhadap program kawalan denggi wilayah dan supaya akauntabiliti dipertingkat dalam perkhidmatan perbandaran.- BERNAMA-XINHUA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE