fb fb fb fb fb

Populasi hidupan liar menurun 69% sejak 1970 - WWF

(Laporan itu mendapati bahawa punca utama kehilangan hidupan liar disebabkan kemerosotan
habitat akibat pembangunan dan pertanian, eksploitasi, pengenalan spesies asing,
pencemaran, perubahan iklim dan penyakit/REUTERS)

PARIS, 13 Oktober- Kajian mendapati jumlah spesies haiwan liar yang dipantau menjunam 69 peratus dalam tempoh 50 tahun lalu, disebabkan kemusnahan alam semula jadi akibat kegiatan manusia.

Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) melaporkan daripada data membabitkan 32,000 spesies hidupan liar, lebih 5,000 spesies mamalia, burung, amfibia, reptilia dan ikan, semakin berkurangan dengan jumlah penurunan mendadak di seluruh dunia.

Di Amerika Latin dan Caribbean, antara kawasan yang kaya dengan biodiversiti, angka kehilangan spesies haiwan mencecah shingga 94 peratus.

Pada peringkat global, laporan itu mendapati bahawa spesies haiwan yang dipantau itu juga jatuh 69 peratus sejak 1970.

Malah, sesetengah kawasan mengalami lebih banyak kehilangan spesies hidupan liar berbanding kawasan lain seperti di Eropah, yang menyaksikan pengurangan hidupan liar sebanyak 18 peratus.

Di Afrika, di mana 70 peratus mata pencarian penduduknya bergantung kepada alam semula jadi, laporan itu menunjukkan pengurangan dua pertiga dalam taburan spesies hidupan liar sejak 1970.

Ketua Pengarah WWF International, Marco Lambertini, berkata mereka 'sangat bimbang' dengan data baharu itu.

(Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) menunjukkan, daripada data membabitkan 32,000 spesies
hidupan liar, lebih 5,000 spesies mamalia, burung, amfibia, reptilia dan ikan, semakin
berkurangan dengan jumlah penurunan mendadak di seluruh dunia/REUTERS)


"Ia menunjukkan kejatuhan yang dahsyat spesies hidupan liar, khususnya di kawasan tropika yang menjadi 'rumah' kepada beberapa landskap biodiversiti yang paling pelbagai di dunia," katanya.

Pengarah sains WWF, Mark Wright pula berkata angka itu 'benar-benar menakutkan' terutamanya bagi Amerika Latin.

"Sudah tentu, Amerika Latin terkenal dengan biodiversiti dan ia sangat penting untuk banyak perkara lain juga.

"Ia sangat penting untuk mengawal selia iklim. Kami menganggarkan pada masa ini terdapat kira-kira 150 hingga 200 bilion tan karbon dioksida (CO2) di hutan Amazon," katanya.

Penemuan itu adalah bersamaan dengan 550 hingga 740 bilion tan CO2, atau 10 hingga 15 kali lebih banyak daripada pelepasan gas rumah hijau tahunan pada kadar semasa.

Indeks itu turut mendapati bahawa spesies air tawar juga merosot lebih banyak daripada yang ditemui di mana-mana habitat lain, dengan penurunan 83 peratus spesies sejak 1970.

Laporan itu mendapati bahawa punca utama kehilangan hidupan liar disebabkan kemerosotan habitat akibat pembangunan dan pertanian, eksploitasi, pengenalan spesies asing, pencemaran, perubahan iklim dan penyakit.

Lambertini berkata, dunia perlu memikirkan semula amalan pertanian yang berbahaya dan membazir sebelum rantaian makanan global runtuh.

"Sistem makanan hari ini bertanggungjawab terhadap lebih 80 peratus penebangan hutan di darat dan jika anda melihat lautan dan air tawar, ia juga mendorong keruntuhan stok perikanan dan spesies di habitat itu," katanya.

Dengan pemimpin dunia akan bersidang di Montreal pada sidang kemuncak biodiversiti COP15 pada Disember, penulis laporan itu turut meminta komitmen antarabangsa untuk melindungi alam semula jadi, sama seperti Perjanjian Paris 2015 mengenai perubahan iklim. -AFP

Media Baharu