BANGKOK, 12 Disember - Sebelas warga Bangladesh yang dipercayai dalam perjalanan untuk menyeludup masuk ke Malaysia ditahan polis Thailand pada Sabtu lepas, setelah trak pikap yang mereka naiki terbalik di Wilayah Sa Kaeo, di sempadan timur Thailand, kira-kira 245 kilometer dari Bangkok.
Dalam satu kenyataan, Biro Siasatan Pusat (CIB) Thailand berkata 11 lelaki itu berumur antara 22 dan 48 tahun.
Dalam kejadian pada 5 pagi itu, Polis Lebuhraya mengejar trak pikap yang dipandu laju sebelum trak berkenaan hilang kawalan dan terbalik.
“Pemandu lelaki warga Thailand berusia 35 tahun melarikan diri dari tempat kejadian selepas kemalangan itu. Polis lebuh raya menemukan 11 warga Bangladesh dalam kenderaan yang rosak teruk itu.
“Siasatan awal mendapati kumpulan itu dalam perjalanan dari Bangladesh ke Kemboja sebelum secara haram menyeberang ke Thailand menggunakan trak pikap, untuk meneruskan perjalanan ke Malaysia,” katanya.
CIB berkata polis sedang mengesan pemandu itu. - BERNAMA