LONDON, 13 Mei- Polis London mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian kebakaran yang berlaku di luar kediaman lama milik Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, yang menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan rumah tersebut.
Menurut laporan media tempatan, walaupun kediaman tersebut yang terletak di Kentish Town utara London masih dimiliki oleh Starmer, beliau telah berpindah ke kediaman rasmi perdana menteri di Downing Street selepas kemenangan Parti Buruh dalam pilihan raya umum tahun lalu.
Dalam satu kenyataan, Polis Metropolitan berkata pada pukul 1.35 pagi Isnin, pihak polis telah dimaklumkan oleh Jabatan Bomba London mengenai kejadian kebakaran di sebuah alamat kediaman.
“Pegawai hadir ke lokasi kejadian. Kerosakan berlaku di bahagian pintu masuk rumah tersebut, namun tiada individu dilaporkan cedera. Kebakaran tersebut sedang disiasat dan kawasan kejadian telah dipasang garisan polis sementara siasatan dijalankan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Jabatan Bomba London memaklumkan insiden tersebut hanya membabitkan kebakaran kecil di luar sebuah rumah di Kentish Town.
“Pihak bomba menerima panggilan pada pukul 1.11 pagi dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.33 pagi,” tambah kenyataan jabatan itu.
Jurucakap rasmi Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, “Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada semua anggota perkhidmatan kecemasan atas tindakan pantas mereka. Oleh kerana insiden ini masih dalam siasatan, tiada ulasan lanjut boleh diberikan buat masa ini.”-AFP