fb fb fb fb fb

Polis Kenya buru 13 tahanan lolos dari lokap

Foto Fail/Reuters

NAIROBI, 20 Ogos - Polis Kenya memburu seorang tahanan yang melarikan diri dari lokap balai polis Nairobi bersama-sama 12 tahanan lain.

Lelaki itu dimasukkan ke dalam lokap tersebut selepas mengaku telah membunuh kejam 42 wanita.

Collins Jumaisi, 33, yang disifatkan polis sebagai 'vampire, psikopat', ditahan bulan lalu selepas penemuan mayat yang dibunuh sadis di tempat pembuangan sampah di kawasan setinggan di ibu negara Kenya.

"Siasatan telah dijalankan dan operasi keselamatan besar-besaran sedang dilakukan bagi menangkap 13 suspek itu," kata jurucakap polis Kenya, Resila Onyango kepada AFP.

Polis dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesan tindakan lolos dari lokap itu apabila pegawai membuat lawatan rutin ke sel balai polis kira-kira pukul 5.00 pagi.

"Apabila membuka pintu sel, mereka mendapati bahawa 13 banduan telah melarikan diri dengan memotong jaringan dawai di ruang berjemur," katanya.

Mereka yang melarikan diri ialah Jumaisi dan 12 orang lain yang menurut polis berasal dari Eritrea dan berada dalam tahanan kerana 'pendatang haram'.

Balai polis itu terletak di daerah Nairobi di Gigiri yang merupakan kawasan elit.

Ia merupakan kejadian kali dua dalam tempoh hampir enam bulan, iaitu seorang suspek jenayah berprofil tinggi telah melarikan diri daripada tahanan.

Jumaisi hadir ke mahkamah di ibu negara Kenya pada Jumaat. Majistret memerintahkan dia ditahan selama 30 hari lagi bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mereka.

Sepuluh mayat wanita yang disembelih diikat dalam beg plastik ditemui di tempat pembuangan sampah di sebuah kuari terbiar di kawasan setinggan Nairobi di Mukuru, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kenya (KNCHR) bulan lalu.

Penemuan mengerikan itu mengejutkan rakyat Kenya. - AFP

TETITIA YUSOFF