fb fb fb fb fb

Banjir Vietnam, kanak-kanak sukar ke sekolah

FOTO REUTERS

HANOI, 20 Ogos - Beribu-ribu kanak-kanak di utara Vietnam menghadapi kesukaran untuk kembali ke sekolah selepas kediaman dan sekolah mereka musnah akibat banjir kilat dan tanah runtuh.

Turut musnah tanaman dan kemudahan seperti jalan raya, premis kediaman dan hospital di kawasan penempatan mereka.

Awal Julai lalu bahagian utara negara itu mengalami musim panas yang sangat lembap dengan kawasan pergunungan di barat laut terutamanya dilanda hujan lebat dan banjir kilat.

Hampir 29,000 rumah rosak dan 90,000 hektar tanaman musnah, kata Pejabat Perangkaan Am Vietnam pada akhir bulan lalu.

Di wilayah Son La, kira-kira 1.3 juta penduduk terjejas, menurut Save the Children.

Sekurang-kurangnya 11 orang terkorban dunia di kawasan itu dan sekitar 2,670 rumah dan 29 bangunan sekolah rosak, menurut pegawai bencana Vietnam.

Save the Children berkata 4,500 kanak-kanak akan menghadapi 'isu keselamatan' ketika mereka cuba kembali ke sekolah pada awal September.

"Pemulihan akan mengambil masa berbulan-bulan dan tanpa campur tangan segera, kanak-kanak ini boleh menghadapi pelbagai bahaya," kata Pengarah Negara Save the Children Vietnam, Le Thi Thanh Huong, Pengarah Negara Save the Children Vietnam dalam satu kenyataan.

Pengetua sebuah sekolah di wilayah Son La Ha Cong Minh berkata keadaan jalan sangat teruk ditambah dengan jambatan runtuh yang menyukarkan kanak-kanak ke sekolah.

Banjir kilat mengakibatkan kerugian kira-kira $85 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, menurut Pejabat Perangkaan Am Vietnam.

91 maut atau dilaporkan hilang akibat cuaca buruk dalam tempoh itu, katanya.

Antara Jun dan November, Vietnam sering dilanda hujan lebat yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh.

Para saintis mengeluarkan amaran bahawa kejadian cuaca ekstrem di seluruh dunia menjadi lebih sengit dan kerap disebabkan perubahan iklim. - AFP

TETITIA YUSOFF