fb fb fb fb fb

Polis Kanada siasat video larang komuniti Sikh naik pesawat Air India

Gurpatwant Singh/Twitter Sikh For Justice

OTTAWA, 10 November- Polis Kanada sedang menyiasat sebuah video yang mengeluarkan amaran kepada komuniti Sikh supaya tidak melakukan penerbangan dengan pesawat Air India mulai 19 November ini.

Menteri Pengangkutan, Pablo Rodriguez berkata, pihaknya memandang serius mesej yang disampai oleh peguam dan penasihat am Sikh For Justice (SFJ), Gurpatwant Singh itu.

"Kami memandang serius setiap ancaman, terutama apabila ia melibatkan syarikat penerbangan. Polis Diraja Kanada sedang menjalankan siasatan," katanya kepada pemberita di sini.

Video berkenaan mula disiar dan tersebar luas sejak minggu lalu yang menyatakan nyawa komuniti Sikh mungkin dalam bahaya jika mengabaikan amaran berkenaan.

"Jangan terbang dengan Air India selepas 19 November, nyawa anda (Sikh) mungkin dalam bahaya," tegas Singh.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia bukan ancaman sebaliknya seruan untuk memboikot perniagaan India.

Pergerakan pemisah Sikh sebahagian besarnya telah berakhir di India selepas pasukan keselamatan menggunakan kekerasan maut dalam menumpaskan pemberontakan di negeri Punjab pada 1980-an.

Kanada kini adalah rumah kepada kira-kira 770,000 orang Sikh, yang membentuk kira-kira dua peratus daripada keseluruhan penduduk, dengan minoriti yang lantang menyeru untuk mewujudkan sebuah negara India berasingan digelar Khalistan.

September lalu, Perdana Menteri, Justin Trudeaur membangkitkan dakwaan bahawa ejen India memainkan peranan dalam pembunuhan seorang pemimpin Sikh di Vancouver pada Jun dan mengusir seorang diplomat India yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu.

India menolak tuduhan berkenaan sebagai "tidak masuk akal". -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA