fb fb fb fb fb

Polis Itali minta semua wanita melaporkan serangan malam tahun baharu

FOTO - AP

MILAN, 14 Januari- Pihak keselamatan Itali menggesa wanita dan gadis yang didera secara seksual atau dicabul oleh perusuh semasa sambutan ambang tahun baharu di dataran berhampiran Milan Cathedral agar tampil memfailkan aduan kepada polis.

Beberapa wanita memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka telah diraba oleh lelaki pada malam itu.

Sekurang-kurangnya lima wanita, termasuk dua warga Jerman telah melaporkan mereka dikelilingi oleh berpuluh-puluh lelaki Itali dan warga asing di dataran Duomo di Milan dan di jalan-jalan berdekatan.

Di Milan, sekumpulan wanita mendakwa mereka ditolak dan diraba, lapor akhbar harian Corriere della Sera pada hari Sabtu.

Seorang wanita, yang baju sejuknya koyak dan seluarnya ditarik ke bawah, mengalami kesan calar.

Polis membawanya ke hospital untuk pemeriksaan.

Akhbar itu berkata ada pegawai keselamatan menyelamatkan seorang wanita, tetapi dalam kejadian lain, Corriere della Sera memetik seorang wanita Jerman sebagai berkata polis berhampiran tidak bertindak balas terhadap jeritan meminta pertolongan.

Menurut media Itali, wanita Jerman itu memfailkan aduan selepas mereka kembali ke Jerman.

Riccardo De Corato, pesuruhjaya keselamatan untuk Lombardy, wilayah yang termasuk Milan, menggesa mana-mana wanita lain yang dicabul menghubungi pendakwa raya Itali.

Polis yang sedang menyiasat serangan itu telah mengkaji imej video untuk cuba mengenal pasti penyerang.

Media Baharu