fb fb fb fb fb

Polis India campak mayat dalam terusan cetus kemarahan orang ramai

(Video tangkap layar menunjukkan polis di Bihar, India membuang anggota badan
mangsa kemalangan yang mati digilis lori ke dalam terusan/ Foto: media sosial)

NEW DELHI, 9 Oktober- Perbuatan sekumpulan polis yang dirakam membuang mayat mangsa kemalangan jalan raya ke dalam terusan di India, mencetuskan kemarahan orang ramai.

Video tular itu menunjukkan tiga anggota polis dari Bihar membawa mangsa yang berlumuran darah ke penghadang jambatan sebelum mengangkat dan membuangnya ke dalam terusan, dengan dilihat oleh orang ramai.

Video itu menerima lebih 800,000 tontonan sejak ia disiarkan semalam.

Bihar yang mempunyai penduduk lebih daripada 100 juta, adalah salah satu negeri termiskin dan paling kurang membangun di India.

Seorang pegawai kanan polis daerah Muzaffarpur, Rakesh Kumar, memaklumkan kepada AFP, anggotanya 'hanya mencampakkan bahagian bawah' lelaki itu ke dalam air kerana ia digilis ​​teruk oleh trak yang dipandu laju dan sudah tidak dapat diselamatkan.

"Ia adalah mayat seorang lelaki warga emas yang belum dikenal pasti. Bahagian atas badan mangsa dihantar untuk bedah siasat tetapi bahagian bawah sudah hancur sehingga kami hanya dapat membuangnya ke dalam terusan berkenaan," katanya.

Rakesh menyifatkan kejadian itu satu kesilapan besar dan tiga anggota yang dilihat terakam dalam video berkenaan sudah digantung tugas.

Selepas video itu tular, polis serta merta mengambil semula beberapa bahagian badan yang dicampak dalam terusan itu, lapor media tempatan.

Seorang pengguna di laman aplikasi X, mempersoalkan sama ada individu yang melakukan perbuatan itu adalah anggota polis atau pun binatang buas.

Sementara pengguna lain menyifatkan sikap kemanusiaan dan moral sudah mati dalam kalangan manusia hari ini. - AFP


(FOTO HIASAN)

Media Baharu