fb fb fb fb fb

27 terkorban dalam insiden tanah runtuh di Cameroon

(Pasukan penyelamat meneruskan kerja mencari dan menyelamat (SAR) selepas empangan pecah
menyebabkan tanah runtuh memusnahkan rumah penduduk di Mbankolo, Yaounde, Cameroon/ REUTERS)

CAMEROON, 9 Oktober- Sekurang-kurangnya 27 orang terkorban akibat tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan lebat dalam satu tragedi di Yaounde, Cameroon.

Anggota bomba berkata sehingga kini pihaknya masih menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) lebih banyak mangsa.

Menteri Pentadbiran Wilayah, Paul Atanga Nji, yang melawat tapak tragedi, berkata jumlah kematian meningkat kepada 27 mangsa selepas pasukan SAR pada awalnya mengumumkan penemuan 23 mayat.

Penguasa (II) Bomba, David Petatoa, memaklumkan 15 mayat berjaya dibawa keluar semalam manakala bakinya ditemui hari ini dan SAR masih diteruskan.

Semasa musim hujan di Yaounde, tanah runtuh kerap berlaku terutamanya kerana terdapat rumah yang dibina secara tidak menentu di lereng bukit di bandar itu.

Malapetaka terbaru berlaku petang semalam di daerah Mbankolo, barat laut Yaounde, yang menempatkan hampir tiga juta orang.

Menurut penyiar awam, CRTV, hujan lebat menyebabkan empangan yang menahan tasik buatan terletak di kawasan tinggi itu pecah.


(Lokasi tanah runtuh di daerah Mbankolo, Yaounde, di Cameroon, yang menimbuskan sekitar 30 buah rumah/ AFP)

"Semalam kami sudah mengeluarkan sebanyak 15 mangsa maut dan pagi ini kami menemui 12 lagi mangsa. Kami masih mencari (lebih banyak mangsa)," kata pegawai kedua bomba, David Petatoa Poufong, kepada pemberita di lokasi kejadian.

Pagar keselamatan turut disediakan bagi menghalang orang ramai dan media dari kawasan tanah runtuh.

Bagaimanapun, imej yang disiarkan di televisyen menunjukkan keseluruhan bahagian bukit sudah runtuh dan serta terdapat tinggalan rumah yang dibina daripada kayu, bata dan kepingan logam.

Menurut wartawan AFP, terdapat kediaman di lereng bukit yang dibawa oleh tanah runtuh berkenaan dan ia dapat dilihat dari jauh. Kejadian itu memusnahkan kira-kira 30 buah rumah. - AFP

Media Baharu