fb fb fb fb fb

Kementerian Laos seru sokongan untuk tamatkan buruh kanak-kanak

(FOTO FAIL/ AFP)

VIENTIANE, 9 Oktober- Kementerian Buruh dan Kebajikan Sosial Laos menggesa semua organisasi berkaitan membantu menyebarkan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Penghapusan Buruh Kanak-Kanak di Laos supaya matlamatnya diketahui secara meluas dan diamalkan, lapor Xinhua.

Gesaan itu dibuat pada mesyuarat wakil tripartite Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), iaitu Kementerian Buruh dan Kebajikan Sosial Laos, Persekutuan Kesatuan Sekerja Laos dan Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Laos.

Mesyuarat itu yang diadakan di ibu negara Laos, Vientiane dari Rabu hingga Khamis membincangkan rancangan dan usaha untuk mewujudkan pekerjaan untuk anak muda dan penghapusan buruh kanak-kanak menjelang 2025.

Semasa mesyuarat itu, pegawai kerajaan bersama pegawai pemeriksa dari negara anggota ASEAN lain dan wakil sektor sosial membincangkan tindakan untuk mempercepatkan strategi peringkat kebangsaan bagi menghapuskan buruh kanak-kanak.

Peserta mesyuarat telah bersetuju dengan satu set cadangan, termasuk memperkuat kemampuan institusi dan sumber manusia sistem pemeriksaan buruh untuk mengesan dan menangani kes buruh kanak-kanak dengan lebih berkesan.

Kementerian Buruh dan Kebajikan Sosial serta Biro Perangkaan Kebangsaan Kementerian Perancangan dan Pelaburan menjalankan tinjauan tenaga kerja dan tinjauan buruh kanak-kanak pertama di Laos pada 2022 yang disokong oleh ILO.

Tinjauan itu dijalankan dalam kumpulan umur antara lima hingga 17 tahun dan kawasan bandar di seluruh negara dan mendapati sekurang-kurangnya 172,000 kanak-kanak telah bekerja.- BERNAMA

 
(Seorang wanita etnik Hmong dan dua kanak-kanak bekerja di ladang kopi di wilayah Houaphanh, timur Laos/ AFP)

Media Baharu