fb fb fb fb fb

China menentang, mengutuk keganasan terhadap orang awam dalam konflik Palestin -Israel

(Jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning/ REUTERS)

BEIJING, 9 Oktober- China hari ini menentang dan mengutuk keganasan terhadap orang awam di Israel dan Palestin seta enggan diheret untuk menyatakan sokongan terhadap mana-mana pihak.

Jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning, berkata China amat bimbang dengan konflik yang berlaku baru-baru ini di Palestin dan Israel terutama keganasan terhadap orang awam.

Beliau berkata Beijing sangat sedih dengan mangsa yang membabitkan orang awam disebabkan konflik berkenaan dan menentang serta mengutuk tindakan membahayakan rakyat.

"China menentang tindakan berkenaan kerana ia menjejaskan kestabilan serantau dan mengharapkan gencatan senjata, sekali gus menamatkan perang serta memulihkan keamanan secepat mungkin," katanya.

Mao turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk memainkan peranan masing-masing dalam memulihkan keadaan dan meredakan peperangan.

"Laluan untuk menyelesaikan kitaran konflik Palestin-Israel terletak pada rundingan damai," katanya.

Tambah beliau, penyelesaian itu termasuk 'rundingan antara kedua negara berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik yang menyeluruh bagi isu Palestin menerusi campur tangan politik, supaya kebimbangan munasabah semua pihak dapat ditangani.

"China akan terus melakukan usaha gigih dalam hal ini bersama masyarakat antarabangsa untuk melakukan apa saja bagi mencapai kedamaian," katanya.

Wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun, turut menyuarakan pendirian sama negaranya pada mesyuarat khas Majlis Keselamatan PBB (UNSC).- AFP


(Foto Fail: Wakil tetap China ke PBB, Zhang Jun/ REUTERS)

Media Baharu