fb fb fb fb fb

Polis India buru empat lagi suspek rogol wanita Sepanyol

Vicente dan Fernanda sudah mengembara ke 63 negara dengan perjalanan sejauh 170,000 kilometer/Foto Instagram @vueltaalmundoenmoto

BENGALURU, 4 Mac - Polis India memburu empat lagi suspek yang dipercayai menyerang pasangan dan merogol mangsa wanita pelancong dari Sepanyol secara bergilir-gilir di Jharkhand pada Jumaat lalu.

"Salah seorang suspek yang ditahan mendedahkan nama suspek lain yang terbabit kepada pihak berkuasa dan makmal sains forensik membantu kami melakukan sisatan," kata Superintendan Polis Dumka,  Pitamber Singh Kherwar pada Sabtu lalu di timur India.

Terdahulu, polis India telah menahan tiga lelaki berhubung kes rogol beramai-ramai membabitkan wanita Sepanyol itu.

Polis menemukan pasangan warga Sepanyol itu kira-kira 11 malam waktu tempatan pada Jumaat di tepi jalan dalam keadaan cedera akibat dipukul.

Kedua-dua mangsa membuat aduan polis terhadap perbuatan jenayah membabitkan tujuh lelaki.

Pasangan berkenaan, yang memperkenalkan diri sebagai Vicente dan Fernanda kepada stesen televisyen Sepanyol, Antena 3, dalam temu bual menerusi video pada Sabtu, mendakwa Fernanda dirogol dan Vicente dipukul berulang kali.

Menurut pasangan itu, mereka berkhemah di kawasan di mana mereka diserang kerana tidak berjaya mendapatkan hotel berdekatan.

"Mereka merogol saya secara bergilir-gilir dengan ada antara mereka memerhatikan dan ini berlarutan selama sekitar dua jam," kata Fernanda yang memiliki dwikewarganegaraan Brazil-Sepanyol.

Fernanda berkongsi pengalamannya dalam temu bual terbabit.

Awal minggu ini, pasangan itu menyiarkan video berkongsi apa yang berlaku menerusi akaun Instagram bersama mereka.

Video tersebut memaparkan imej mengenai pengembaraan mereka mengelilingi dunia dengan menunggang motosikal kepada hampir 200,000 pengikut.

Bagaimanapun video berkenaan sudah dipadam dari akaun tersebut.

Dalam video baharu, Vicente dan Fernanda, yang muncul di rakaman tersebut dengan muka yang cedera berterima kasih kepada pengikut mereka atas sokongan diberikan.

Kementerian Luar Sepanyol berkata, pihaknya sudah menghantar pegawai ke kawasan berkenaan dan berhubungan dengan pihak berkuasa.

Manakala Kementerian Luar Brazil sudah menghubungi pasangan itu menerusi kedutaannya di New Delhi bagi memberi bantuan. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN