fb fb fb fb fb

Seorang maut, 24 anak kapal selamat bot rosak di tengah laut bergelora

Rakaman penuh dramatik itu disiarkan di televisyen tempatan menunjukkan sebuah bot nelayan sepanjang 56 meter dipukul ombak/Foto AFP

TOKYO, 4 Mac - Seorang maut dan 24 yang lain berjaya diselamatkan selepas bot nelayan mereka hilang kuasa dan hanyut di tengah-tengah laut bergelora semalam.

Rakaman penuh dramatik itu disiarkan di televisyen tempatan menunjukkan sebuah bot nelayan sepanjang 56 meter dipukul ombak.

Situasi itu juga menunjukkan bot peronda dan sebuah helikopter turut berlegar-legar di atas untuk menyelamatkan kesemua mangsa.

Dalam kejadian itu, lima warga Jepun dan 20 warga Indonesia dilaporkan berada dalam bot nelayan itu.

Jurucakap pengawal pantai berkata, bot yang dinaiki mereka mengalami masalah enjin pada petang Ahad di luar kepulauan Izu yang berdekatan pulau utama Honshu, Jepun.

Beliau berkata, dalam operasi melibatkan bot peronda dan helikopter itu, kesemua mangsa berjaya diselamatkan pada pagi Isnin.

Pengawal pantai berkata, mayat seorang anak kapal warga Jepun yang dilaporkan hilang ditemui kemudian. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN