fb fb fb fb fb

Polis Greece selamatkan 38 pelarian Syria terkandas

(Foto Fail/ AFP)

ATHENS, 16 Ogos- Polis Greece menemui 38 pelarian warga Syria yang dilaporkan terkandas beberapa hari di sebuah pulau kecil di sempadan sungai Evros.

Media tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) melaporkan terdapat kanak-kanak yang meninggal dunia dalam kalangan kumpulan berkenaan, namun polis tidak mengesahkannya.

Menurut kenyataan polis, kumpulan terbabit termasuk seorang wanita mengandung, terdampar kira-kira empat kilometer dari sempadan wilayah Greece.

"Berdasarkan maklumat baharu dan siasatan menyeluruh, kumpulan pendatang asing yang mendakwa mereka rakyat Syria, termasuk sembilan wanita dan tujuh kanak-kanak, berjaya ditemui," katanya.

Menteri Migrasi dan Perlindungan, Notis Mitarachi, berkata warga asing terbabit ditemui di atas bot kira-kira empat kilometer dari pulau kecil di Turkiye.

Beliau berkata, mereka ditemui dalam keadaan selamat manakala wanita mengandung sudah dibawa ke hospital.

Terdahulu, NGO dan media tempatan melaporkan puluhan orang terperangkap selama beberapa hari di atas pulau yang bersempadan dengan Turkiye, namun tiada mana-mana pihak yang hadir menyelamatkan mereka.


(Foto Hiasan/ AFP)

Sabtu lalu, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi ciapan di Twitter berkata: "Kami bimbang dengan keselamatan kira-kira 40 orang yang terkandas di sebuah pulau kecil di sempadan antara Greece dan Turkiye.

"Berdasarkan laporkan diterima, seorang kanak-kanak disahkan meninggal dunia. Jika tiada sebarang tindakan diambil, kami khuatir lebih ramai yang akan terkorban".

Mitarachi sebelum ini menerusi ciapan di saluran sama menegaskan, pihaknya menjalankan usaha pencarian di sekitar kawasan berkenaan namun tidak berhasil mengesan kehadiran mereka di pulau terbabit.

"Disahkan bahawa lokasi mereka berada di luar wilayah Greece dan sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa Turkiye," katanya. - AFP

Media Baharu