FLORIDA, 4 Ogos - Tesla diperintah membayar AS$243 juta kepada mangsa kemalangan maut melibatkan kenderaan Model S yang dilengkapi sistem autopilot, milik syarikat itu. Keputusan dibuat juri mahkamah persekutuan di Miami, Jumaat lalu.
Kemalangan yang berlaku pada April 2019 di Key Largo itu menyaksikan Tesla Model S memecut ke arah persimpangan, sebelum merempuh kenderaan lain yang sedang diparkir, seperti dirakam menerusi dashcam.
Keputusan tersebut dianggap kemenangan buat mangsa yang melibatkan kenderaan sistem autopilot. Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk juga ketika ini terus giat mempromosi perniagaan roboteksi syarikat, berasaskan perisian bantuan pemandu generasi baharu.
Juri mengarahkan pampasan AS$129 juta dibayar kepada waris mangsa iaitu mendiang Naibel Benavides Leon serta bekas teman lelakinya, Dillon Angulo, selain AS$200 juta sebagai ganti rugi punitif.
Tesla didapati bertanggungjawab ke atas 33 peratus pampasan tersebut bersamaan AS$42.6 juta, manakala pemandu kenderaan terbabit, George McGee, diputuskan bertanggungjawab ke atas 67 peratus. Bagaimanapun, McGee bukan defendan dalam kes berkenaan dan tidak perlu membayar bahagiannya.
Saham Tesla dilaporkan jatuh 1.8 peratus pada Jumaat, menjadikan jumlah penurunan tahun ini kepada 25 peratus. - AFP