GAZA, 4 Ogos - Wanita dan kanak-kanak di Gaza terus mempertaruhkan nyawa demi mendapatkan bekalan asas daripada trak bantuan yang memasuki kawasan utara melalui lintasan Zikim, sejak hujung Julai lalu.
Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), lebih 100 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam tempoh dua hari lalu, di sepanjang laluan konvoi makanan atau berhampiran pusat agihan yang ditetapkan oleh israel.
Asma Masoud, seorang pelarian yang menjaga suami lumpuh sepenuhnya, berkata mereka tidak pernah menerima bantuan secukupnya. “Terlalu ramai balu dan wanita seperti saya yang tidak mampu sediakan makanan untuk anak-anak,” katanya.
Abir Safi pula mendakwa bantuan kini sukar diperoleh. “Saya sanggup ambil risiko ke Zikim tapi pulang dengan tangan kosong. Saya cuma mahu bawa pulang sesuatu untuk anak-anak,” luahnya.
Seorang kanak-kanak, Mohammed Mudeiris, merayu makanan selepas kehilangan bapanya dalam serangan udara israel. “Saya kini ketua keluarga. Kami baru pertama kali nampak bantuan tiba hari ini,” katanya.
Sementara itu, laporan terkini Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) mengesahkan ambang kebuluran telah dicapai di kebanyakan kawasan Gaza, meliputi kadar pemakanan, kekurangan zat makanan akut serta perkhidmatan kesihatan yang lumpuh.
Walaupun israel mengumumkan ‘jeda taktikal’ bagi laluan konvoi PBB, OCHA menyatakan bantuan yang masuk ke Gaza masih tidak mencukupi, manakala penghantaran terus berdepan kelewatan dan ancaman keselamatan. - Reuters