SEOUL, 4 Ogos - Lebih 2,500 penduduk terpaksa dipindahkan selepas hujan lebat semalaman melanda wilayah selatan Korea Selatan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut Ibu Pejabat Pencegahan Bencana dan Keselamatan Pusat, seramai 2,523 orang mencari perlindungan di enam bandar dan wilayah utama di selatan negara itu - Busan, Gwangju, Chungcheong Selatan, Jeolla Selatan, Gyeongsang Utara dan Gyeongsang Selatan - setakat 4.30 pagi Isnin.
Daripada jumlah itu, seramai 2,498 masih belum pulang ke kediaman masing-masing.
Beberapa kawasan di bahagian selatan negara itu terjejas teruk akibat hujan semalaman, dengan daerah Muan di barat daya menerima taburan hujan sebanyak 289.6 milimeter dari tengah malam Ahad hingga 5 pagi Isnin.
Seorang lelaki berusia 60-an ditemui meninggal dunia di sebatang anak sungai di Muan, namun pihak berkuasa masih menyiasat sama ada kematian itu berkaitan dengan hujan lebat berkenaan.
Ibu pejabat bencana telah menaikkan tahap operasi tindak balas kecemasan kepada Tahap 2 pada 11 malam Ahad susulan hujan berterusan itu.
Pentadbiran Meteorologi Korea meramalkan hujan lebat di seluruh negara pada Isnin, dengan hujan dijangka berterusan di Gyeongsang Selatan dan kawasan berdekatan.
Taburan hujan antara 5 hingga 10 milimeter dijangka melanda Seoul, Incheon dan bahagian barat wilayah Gyeonggi dari Isnin hingga awal pagi Selasa, manakala hujan lebat antara 30 hingga 80 milimeter diramalkan di Busan, Ulsan dan Gyeongsang Selatan, dengan sesetengah kawasan berkemungkinan menerima taburan hujan melebihi lebih 120 milimeter.
Amaran gelombang haba telah ditarik balik di beberapa kawasan susulan hujan lebat, dengan suhu tertinggi dijangka antara 29 hingga 34 darjah Celsius pada Isnin.
- BERNAMA-YONHAP