MEXICO, 4 OGOS - Tujuh banduan maut manakala 11 lagi cedera dalam rusuhan ganas yang tercetus di Penjara Tuxpan, di negeri Veracruz, timur Mexico, pada hujung minggu lalu.
Rusuhan bermula petang Sabtu dan berlarutan hingga malam sebelum pasukan keselamatan bersama tentera berjaya mengawal semula keadaan pada pagi Ahad.
Tiga banduan dipindahkan ke fasiliti lain, namun butiran lokasi tidak didedahkan.
Pihak berkuasa kini menyiasat punca sebenar kejadian.
Rusuhan tercetus selepas beberapa banduan mendakwa mereka diancam tahanan lain yang dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang.
Mexico sering berdepan insiden rusuhan penjara akibat ketegangan antara kartel.
Bulan lalu, tiga banduan turut maut dalam insiden serupa di Sinaloa. -AFP