BERLIN, 1 November - Polis sedang memburu seorang lelaki yang meninggalkan beg berisi bahan letupan di sebuah stesen kereta api di Berlin susulan pemeriksaan rutin oleh polis Jerman.
Jurucakap polis berkata, pihaknya sedang “menyiasat semua kemungkinan” namun identiti suspek masih belum dikenal pasti.
Insiden berlaku di Stesen Neukoelln, Berlin, pada Rabu petang, apabila suspek melarikan diri dari lokasi dan meninggalkan beg yang disahkan berisi bahan letupan.
Beg tersebut dibawa ke sebuah taman berhampiran di mana letupan terkawal dijalankan, menurut hantaran di platform media sosial, X.
Akhbar Bild melaporkan bahawa bahan di dalam beg tersebut dipercayai triacetone triperoxide (TATP), sejenis bahan letupan putih yang tidak stabil dan sering digunakan dalam serangan ekstremis.
Polis bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jenis bahan letupan tersebut.