LIVERPOOL, 29 September- Beberapa penyokong kumpulan Palestine Action yang diharamkan di Britain ditahan polis pada Ahad, ketika mereka mengadakan bantahan di luar persidangan tahunan Parti Buruh di Liverpool.
Peserta demonstrasi yang menyertai perhimpunan bertajuk "Lift the Ban on Palestine Action" dilihat membawa plakad bertulis, “Saya menentang pembunuhan beramai-ramai, saya menyokong Palestine Action.”
Dalam masa sama, kumpulan penunjuk perasaan lain yang membawa bendera Union Jack dan England turut berhimpun berhampiran kawasan itu dengan dikawal barisan polis.
Britain telah mengharamkan Palestine Action di bawah undang-undang antikeganasan pada Julai lalu, menjadikan keahlian kumpulan itu sebagai satu kesalahan jenayah yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun.
Kumpulan tersebut sebelum ini melancarkan beberapa siri protes terhadap syarikat yang dikaitkan dengan Israel di Britain.
Kumpulan itu diharamkan tidak lama selepas beberapa anggotanya menceroboh pangkalan udara RAF Brize Norton dan merosakkan dua buah pesawat pada Jun lalu, yang membawa kepada pendakwaan terhadap empat individu.
Pengasas bersama kumpulan itu kini sedang mengemukakan cabaran undang-undang terhadap pengharaman berkenaan.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, turut merasmikan persidangan tahunan Parti Buruh pada Ahad, yang menjadi medan untuk beliau memperkukuh sokongan parti serta meredakan kritikan daripada pihak yang mahu beliau digantikan. -REUTERS