RIO DE JANEIRO, 25 Mac- Polis Brazil menahan tiga individu termasuk pegawai sedang berkhidmat dan bekas polis yang didakwa mendalangi pembunuhan ahli majlis bandar raya Rio de Janeiro Marielle Franco pada 2018.
Penahanan dilakukan pada Ahad.
Franco adalah seorang pejuang hak kulit hitam dan LGBTQ yang dibesarkan di kawasan setinggan dan kemudian menjadi pembela orang miskin serta pengkritik lantang terhadap kekejaman polis. Pembunuhannya mencetuskan bantahan di Brazil dan di luar negara.
Dia terbunuh dalam insiden tembakan bersama pemandunya, Anderson Gomes, di tengah bandar Rio de Janeiro pada petang 14 Mac 2018. Dia berusia 38 tahun.
Polis berkata mereka percaya Franco dibunuh kerana tindakan politiknya, tetapi tidak pernah jelas siapa yang mengarahkan pembunuhan itu.
Pada Ahad, Mahkamah Agung Persekutuan berkata Joao Chiquinho Brazao, ahli perniagaan dan ahli dewan rendah Brazil, abangnya, penasihat juruaudit mahkamah Rio Domingos Brazao, dan bekas ketua polis Rio Rivaldo Barbosa, telah ditahan.-AFP