fb fb fb fb fb

11 terbunuh dalam dua serangan oleh kumpulan pemberontak di timur Congo

FOTO AFP

BENI, 25 Mac- Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam dua serangan dekat Beni di timur DR Congo.

Pihak berkuasa tempatan percaya serangan didalangi kumpulan pemberontak Pasukan Demokratik Bersekutu (ADF).

"Serangan berlaku pada malam Sabtu dan malangnya kami baru kehilangan enam orang awam," kata Augustin Kapupa, seorang pegawai di Matembo di mana serangan pertama berlaku.

ADF, salah satu militia paling berbahaya yang berkuasa di kawasan yang dilanda persengketaan, berikrar taat setia kepada kumpulan pengganas IS pada 2019.

Pegawai Beni, Makofi Bukuku memberitahu AFP, jumlah kematian di Sayo masih boleh meningkat, dengan pemberontak masih berada di kawasan itu.

Bukuku berkata beliau berharap angkatan bersenjata Congo di kawasan itu, serta tentera Uganda dan kehadiran pengaman MONUSCO PBB, sudah cukup untuk mengelak bahaya berulang.

“Sejak awal tahun kami hanya mencatatkan kematian dan penculikan,” katanya.

"Dalam tempoh kurang tiga bulan, terdapat lebih 180 mangsa."

Serangan itu didakwa didalangi oleh IS.

Pemimpin masyarakat awam Matembo, Germain Kathemika ketika ditemui berkata, penduduk tempatan telah memberi amaran kepada tentera tentang bahaya yang ditimbulkan oleh kehadiran pemberontak di kawasan itu sejak tiga minggu lalu.

Pada akhir 2021, tentera Uganda dan Congo melancarkan operasi ketenteraan bersama terhadap ADF, tetapi akhirnya gagal.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE