fb fb fb fb fb

Kereta rali terbabas rempuh penonton, empat maut

FOTO AFP

BUDAPEST, 25 Mac- Empat orang terbunuh dan beberapa yang lain termasuk dua kanak-kanak cedera selepas sebuah sebuah kereta lumba terbabas dari jalan dan merempuh penonton di Hungary.

Menurut kenyataan polis, tidak jelas bagaimana kenderaan yang mengambil bahagian dalam Rali Esztergom Nyerges selama dua hari di barat laut Hungary itu terbabas dari jalan raya.

Nahas berlaku berhampiran bandar Bajot di barat laut daerah Komarom Esztergom berhampiran sempadan Slovakia dan menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh cedera, kata polis.

Lapan ambulans dan empat helikopter penyelamat telah dihantar ke tempat kejadian dan perlumbaan segera dihentikan.

Dua penonton cedera parah, termasuk seorang kanak-kanak manakala enam yang lain hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di lokasi, kata paramedik.

Persatuan Sukan Permotoran Kebangsaan Hungary (MNASZ) merakamkan ucapan takziah kepada saudara mara dan ahli keluarga mangsa.

Pihaknya berikrar untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat punca kemalangan itu dengan segera.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE