fb fb fb fb fb

Polis beri amaran, baki penunjuk perasaan undang keadaan tidak diduga

FOTO AFP

OTTAWA, 3 Februari- Kebanyakan penunjuk perasaan yang membanjiri jalanan di sekitar ibu negara bagi membantah mandat vaksin di Kanada telah bersurai.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Ottawa, Trish Ferguson memberi amaran, masih terdapat segelintir daripada mereka yang bertekad meneruskan demonstrasi dan boleh mencetuskan keadaan yang tidak diduga.

"Jumlah mereka dijangka meningkat lagi, mungkin mencecah ribuan penunjuk perasaan pada hujung minggu ini, serta boleh merebak ke bahagian lain di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, Ketua Polis Ottawa, Peter Sloly mencadangkan tentera dikerah untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

"Kanada hanya mengerahkan tentera dua kali dalam sejarahnya untuk meredakan pergolakan domestik iaitu ketika berdepan demonstrasi orang asli pada tahun 1990 dan selepas seorang ahli politik Quebec dan seorang diplomat British diculik oleh kumpulan pemisah Quebec pada tahun 1970," katanya.

Tambah beliau, tiada satu pun pilihan membawa penyelesaian yang baik, mudah dan rapi.

"Pilihan mengerahkan tentera akan mengundang risiko yang besar," katanya lagi.

Polis menganggarkan kira-kira 15,000 penunjuk perasaan berdemonstrasi di pusat bandar Ottawa pada hujung minggu bagi menentang pelaksanaan vaksin COVID-19 dan langkah kesihatan awam lain di negara itu.

Keadaan terebut dijangka menyebabkan bandar berkenaan "lumpuh". -AFP

Media Baharu