WELLINGTON / SYDNEY, 3 Februari - New Zealand mengumumkan pembukaan sempadan negaranya secara berperingkat yang sebelum ini sebahagian besarnya ditutup selama dua tahun.
Mereka yang terlibat dalam industri pelancongan dan penerbangan berkata pembukaan sempadan itu bagi memulihkan kembali sektor pelancongan negara kepulauan pasifik itu yang terjejas.
Perdana Menteri, Jacinda Ardern berkata, bermula 27 Februari, warga New Zealand yang berada di Australia dan telah lengkap divaksin dibenarkan pulang tanpa kuarantin.
Manakala, rakyatnya yang berada di luar negara boleh berbuat demikian dalam masa dua minggu akan datang.
Sementara itu, pengembara asing dan pekerja mahir yang telah menerima suntikan vaksin dibenarkan masuk negara itu bermula 13 Mac ini.
Selain itu, New Zealand akan membenarkan seramai 5,000 pelajar antarabangsa masuk ke negara itu, bermula 12 April.
Bagaimanapun, semua pelancong masih perlu menjalani kuarantin diri selama 10 hari, kata Ardern.
Pelancong dari Australia dan negara bebas visa lain tidak akan dibenarkan masuk sehingga bulan Julai dan pelancong dari negara lain sehingga bulan Oktober, yang juga memerlukan mereka kuantin diri semasa ketibaan.
Ardern berkata pembukaan sempadan dengan cara sistematik akan membolehkan orang ramai bertemu kembali dan membantu mengisi kekurangan tenaga kerja serta memastikan sistem penjagaan kesihatan dapat menguruskan peningkatan kes.
"Strategi kami terhadap Omicron adalah untuk memperlahankan penyebaran, dan sempadan kami adalah sebahagian daripadanya," katanya, merujuk kepada varian virus yang sangat menular yang kini dominan di seluruh dunia.
New Zealand mempunyai beberapa kawalan sempadan yang paling ketat di dunia sejak dua tahun lalu bagi mengawal penularan pandemik itu. -Reuters