fb fb fb fb fb

Operasi mencari militan cetus pertempuran antara tentera pakatan AS dengan pemberontak

FOTO AFP

BEIRUT, 3 Februari- Tentera pakatan antipemberontak diketuai Amerika Syarikat (AS) yang mendarat di barat laut Syria pada Khamis dalam operasi mencari militan yang dikehendaki telah mencetuskan pertempuran.

Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman melaporkan, tentera yang menaiki helikopter itu mendarat berhampiran kem yang menempatkan individu kehilangan tempat tinggal di Atme, sebuah bandar berhampiran sempadan Turki di Idlib yang dikuasai pemberontak.

"Operasi itu adalah yang terbesar sejak pasukan khas pakatan melancarkan serbuan pada Oktober 2019 di Idlib yang membawa kepada pembunuhan ketua militan Daesh, Abu Bakr Al-Baghdadi.

Pertempuran berlarutan selama dua jam di kawasan itu dan identiti kumpulan pemberontak masih belum didedahkan," katanya.

Tambah Rami, terdapat laporan kematian yang disahkan, namun perincian mengenai jumlah dan identiti mereka tidak didedahkan.

Sementara itu, penduduk di kawasan berkenaan memaklumkan mereka terdengar bunyi bedilan dan tembakan.

Terdapat rakaman audio yang dikongsi dalam kalangan penduduk dikaitkan dengan pakatan itu.

Menerusi rakaman tersebut, kedengaran seseorang berkomunikasi dalam bahasa Arab, meminta wanita dan kanak-kanak mengosongkan kediaman dalam kawasan sasaran.

Pakar memaklumkan, ketua pemberontak didakwa bersembunyi di dalam kawasan kem yang sesak di Atme.

Pakatan tersebut sering melakukan serangan di Idlib, menyasarkan pemimpin jihad yang dikaitkan dengan Al-Qaeda. -AFP

Media Baharu