fb fb fb fb fb

AS digesa mansuh arahan penumpang perlu tunjuk keputusan COVID-19 negatif sebelum berlepas

FOTO AFP

SAN FRANCISCO, 3 Februari- Gabungan organisasi antarabangsa berkaitan pelancongan menggesa Amerika Syarikat (AS) menghentikan arahan mewajibkan penumpang yang telah divaksin menunjukkan ujian COVID-19 negatif sebelum menaiki penerbangan ke negara itu.

Perkara berkenaan dibangkitkan dalam surat yang dituju kepada Pegawai Penyelaras Tindak Balas Coronavirus Rumah Putih, Jeffrey Zients.

Pakatan itu menegaskan, proses pemulihan pelancongan dan penerbangan bergantung kepada langkah kerajaan menghapuskan sekatan perjalanan yang tidak sesuai dalam sitiasi semasa.

Surat yang ditandatangani oleh 29 organisasi itu terdiri daripada pertubuhan advokasi utama mewakili Asia, Eropah dan AS serta Dewan Perniagaan AS dan Persatuan Pelancongan AS.

Pemimpin kumpulan, iaitu Airlines for America yang mewakili syarikat penerbangan utama AS termasuk American Airlines, Delta Airlines dan United Airlines menyiarkan surat tersebut di laman sesawangnya.

"Jelas sekali COVID-19 telah merebak ke seluruh AS dan percubaan untuk mengawal penularannya melalui perjalanan udara dalam keadaan hari ini tidak mungkin mengubah fakta berkenaan," kata gabungan itu dalam surat tersebut.

Kumpulan berkenaan merujuk kepada Kesatuan Eropah (EU), yang mengesyorkan sekatan perjalanan ditarik balik antara negara-negara anggota.

Begitu juga United Kingdom, yang telah memansuhkan keperluan ujian saringan sebelum berlepas untuk penumpang yang telah divaksin.

Kumpulan itu menambah, sekiranya varian baharu yang lebih mengancam muncul, ujian sebelum berlepas boleh dilaksanakan semula.

Pada tahun 2021, American Airlines dan United Airlines masing-masing mengalami kerugian kira-kira $2 bilion, manakala Delta Airlines hanya mencatat keuntungan kecil sekitar $280 juta.

Selain pandemik COVID-19, syarikat penerbangan AS juga terpaksa berhadapan kenaikan kos buruh dan bahan api, serta pelancaran teknologi 5G baharu yang tidak teratur. -AFP

Media Baharu