fb fb fb fb fb

Poland beli 288 pelancar roket Korea Selatan

(Foto The Defense, Korea)

WARSAW, 18 Oktober - Poland bersedia untuk menandatangani perjanjian rangka kerja pembelian 288 pelancar roket berbilang K239 Chunmoo dari Korea Selatan, kata kementerian pertahanan Poland.

Bawah perjanjian yang akan ditandatangani Menteri Pertahanan, Mariusz Blaszczak itu, 18 pelancar roket akan dihantar pada 2023 dan dipasang pada kenderaan Jelcz Poland.

Kementerian pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan, sistem itu boleh membawa peluru berpandu balistik dengan jarak 290 kilometer dan misil berpandu dengan jarak 80 kilometer.

Poland telah meningkatkan pembelian senjata secara besar-besaran sejak Rusia menyerang Ukraine, serta menghantar bantuan ketenteraan ke Kiev dan mengambil berjuta-juta pelarian Ukraine.

Blaszczak minggu lepas berkata perjanjian Korea Selatan tidak akan menjejaskan tempahan sedia ada Poland bagi sistem pelancar roket berbilang HIMARS dari Amerika Syarikat yang akan dihantar tahun depan.

Poland minggu ini juga menerima kereta kebal K2 dan artileri K9 pertamanya dari Korea Selatan bawah tempahan yang dibuat pada awal tahun.-AFP


(Pelancar roket berbilang K239 Chunmoo, Korea Selatan/REUTERS)

Media Baharu