fb fb fb fb fb

Poland ambil alih kepimpinan EU, fokus keamanan

Perdana Menteri Poland, Donald Tusk / Foto Reuters

WARSAW, 4 Januari - Poland telah memulakan kepimpinannya dalam Majlis Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat, meskipun dalam pergolakan diplomatik dengan Hungary yang menyoroti perpecahan politik yang semakin mendalam di seluruh Eropah.

Perpecahan ini berlaku ketika EU berdepan dengan pelbagai cabaran global utama.

EU kini berhadapan dengan ekonomi yang perlahan, serta persiapan untuk kembalinya Donald Trump ke Rumah Putih dengan platform "America First" dan kemungkinan pengenaan tarif AS terhadap eksport Eropah.

Hubungan perdagangan dengan China turut merosot, sementara perang yang berterusan di Ukraine terus menambah kesulitan.

Pada masa yang sama, dua kuasa utama EU, Perancis dan Jerman, kini teralih perhatian mereka dengan pergolakan politik domestik.

Dalam suasana yang mencabar ini, Poland berhasrat memainkan peranan penting dalam membentuk dasar Eropah, terutamanya dalam isu keselamatan.

“Jika Eropah lemah, ia tidak akan bertahan… Mari lakukan segala-galanya agar Eropah dan Poland tidak perlu membayar harga tertinggi untuk kebebasan, kekuatan, dan kedaulatan.

Mari lakukan segala-galanya untuk menjadikan Eropah kuat semula,” kata Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, semasa satu majlis gala di Warsaw.

Tusk disertai oleh Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa, yang menekankan pentingnya sokongan berterusan terhadap Ukraine.

“Pada tahun ini, kita mesti terus berdiri bersama Ukraine, sebanyak yang diperlukan, selama mana yang diperlukan, untuk mencapai keamanan yang menyeluruh, adil dan kekal,” kata Costa.

“Untuk itu, kita mesti terus melihat pertahanan sebagai keutamaan strategik bagi Kesatuan Eropah.”-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN