fb fb fb fb fb

PM Thailand yang digantung, teruskan tugas Menteri Pertahanan

(Foto fail/AFP)

BANGKOK, 26 Ogos- Pemimpin Thailand yang digantung, Prayuth Chan-ocha berkata di media sosial beliau akan meneruskan peranannya sebagai Menteri Pertahanan.

Ia merupakan ucapan langsung pertamanya kepada orang ramai sejak mahkamah mengarahkannya menghentikan tugasnya sebagai Perdana Menteri, sementara mahkamah menyemak had penggalnya.

Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan kini memangku jawatan Perdana Menteri Thailand, negara yang mempunyai ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara.

"Saya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab saya sebagai Menteri Pertahanan untuk rakyat dan Thailand setiap hari," kata Prayuth di akaun Twitter rasminya lewat Khamis.


(PM Thailand, Prayuth Chan-ocha/REUTERS) 

Rabu lalu, Mahkamah Perlembagaan memutuskan untuk mendengar petisyen dibawa parti pembangkang utama yang berhujah, bahawa tahun-tahun Prayuth sebagai ketua junta tentera selepas mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa pada 2014, harus dikira dalam tempoh keseluruhannya memegang jawatan.

Perlembagaan menetapkan had penggal lapan tahun untuk perdana menteri. Masih tidak jelas bila mahkamah akan menyampaikan keputusan mengenai semakan itu.

Kontroversi mengenai had penggal Prayuth adalah episod terbaharu dalam hampir dua dekad pergolakan politik yang berselang-seli, termasuk dua rampasan kuasa dan protes ganas, berpunca daripada penentangan terhadap penglibatan tentera dalam politik dan tuntutan untuk perwakilan yang lebih besar apabila kesedaran politik berkembang.

Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri, berkata pada hari Jumaat kabinet terus berfungsi seperti biasa.-REUTERS.

Media Baharu