fb fb fb fb fb

Korea Utara nafi penularan semula kes COVID-19

SEOUL, 26 Ogos- Korea Utara menafikan empat kes demam yang dikesan di wilayah Ryanggang pada awal minggu ini menandakan penularan semula COVID-19. Sebaliknya kes influenza dengan gejala selsema dan suhu tinggi.

Agensi berita rasmi, KCNA melaporkan, semua arahan penutupan di kawasan berkenaan telah ditarik balik.

Dua minggu lepas, Korea Utara mengisytiharkan kemenangan terhadap COVID-19.


(Foto hiasan)

"Semua kes demam... di Wilayah Ryanggang adalah kes selesema," kata KCNA, memetik data dari ibu pejabat pencegahan wabak kecemasan negeri.

"Kes demam pulih dengan suhu normal".

Negara terpencil itu, yang mengekalkan sekatan ketat sejak permulaan wabak tersebut, mengesahkan varian Omicron di ibu negara, Pyongyang pada Mei lalu.

Terdahulu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengisytiharkan kemenangan terhadap COVID-19 awal bulan ini dan mengarahkan penarikan "sistem pencegahan wabak kecemasan maksimum" negara itu kerana kes jangkitan COVID-19 dilaporkan secara rasmi pada tahap sifar.

Negara itu merekodkan hampir 4.8 juta kes "demam" dan hanya 74 kematian, atau 0.002 peratus kadar kematian menurut media kerajaan.-AFP

Media Baharu