BANGKOK, 15 Mei - Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin mengarahkan siasatan ke atas kematian seorang aktivis politik selepas dia melancarkan mogok lapar semasa dalam tahanan, praperbicaraan atas pertuduhan menghina monarki negara.
Netiporn 'Bung' Sanesangkhom, 28 meninggal dunia di hospital penjara akibat kegagalan jantung.
Beratus-ratus orang termasuk aktivis dan penggubal undang-undang pembangkang menyertai upacara menyalakan lilin pada malam Selasa sebagai memperingati Netiporn.
"Ia menyedihkan tentang kehilangan (nyawa) dan saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga," kata Srettha kepada pemberita.
"Saya telah mengarahkan kementerian kehakiman untuk menyiasat butiran mengenai kematiannya," katanya.
Netiporn dipenjarakan sejak 26 Januari lalu, kerana menghina mahkamah berkaitan pergelutan dengan pengawal mahkamah pada 2023, menurut kumpulan bantuan guaman Thai Lawyers for Human Rights.
Penahanan praperbicaraannya dilanjutkan selepas mahkamah membatalkan jaminannya daripada kes berasingan iaitu penghinaan diraja dan ia berpunca daripada protes pada 2022, kata kumpulan bantuan guaman itu.
Semasa dalam tahanan, Netiporn enggan mengambil makanan dan air selama sebulan sebagai protes.
Dia mula mengambil makanan pada awal April tetapi enggan mengambil makanan tambahan seperti vitamin meskipun dalam keadaan kritikal sebelum kematiannya.
Jabatan Pemulihan dalam sidang media berkata, pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.
"Tanda vitalnya normal, semuanya normal sehingga dibawa ke kecemasan," kata Pongpak Areeyapinan, pengarah hospital penjara.
Netiporn ialah aktivis pertama yang meninggal dunia dalam tahanan sejak tercetusnya protes yang diketuai belia pada 2020 yang menuntut reformasi monarki.
"Dia adalah antara 272 individu yang didakwa kerana menghina institusi diraja sejak 2020", menurut Thai Lawyers for Human Rights.
Undang-undang lese majeste Thailand, melindungi istana daripada kritikan dan membawa hukuman penjara hingga 15 tahun bagi setiap kesalahan.
Sejak Januari, permintaan ikat jamin untuk 27 aktivis politik dalam tahanan pra-perbicaraan, termasuk 17 yang didakwa dengan lese majeste, telah ditolak mahkamah, kata kumpulan bantuan guaman itu. - REUTERS