fb fb fb fb fb

PM Qatar desak dunia hentikan dwi-standard, hukum Israel

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani / Foto AFP

DOHA, 14 September - Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan amalan “double standard” dan menghukum Israel atas apa yang disifatkannya sebagai jenayah terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat persiapan menjelang Sidang Kemuncak Tergempar Pemimpin Arab dan Islam anjuran Qatar, susulan serangan udara Israel yang menyasarkan Hamas di Doha.

“Sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa menghentikan sikap double standard dan menghukum Israel atas semua jenayah yang telah dilakukan. Perang pembasmian yang bertujuan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka tidak akan berjaya,” katanya.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari, memaklumkan sidang esok akan meneliti draf resolusi mengenai serangan Israel ke atas Qatar.

Antara pemimpin yang hadir ialah Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani, serta Presiden Palestin Mahmud Abbas yang tiba di Doha semalam.

Qatar, yang menempatkan pangkalan tentera AS terbesar di rantau itu, memainkan peranan penting sebagai perantara dalam konflik Israel-Hamas bersama Amerika Syarikat dan Mesir. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI