ANKARA, 14 September - Sekurang-kurangnya 50,000 orang menyertai perhimpunan anjuran Parti Pembangkang Utama Turkiye, Republik Rakyat (CHP) pada Ahad, menjelang perbicaraan mahkamah yang berpotensi menggugat kepimpinan parti itu.
Perhimpunan besar-besaran itu memenuhi Dataran Tandogan, dengan peserta mengibarkan bendera Turkiye serta mengenakan kemeja-T bergambar pengasas republik, Mustafa Kemal Ataturk.
Naib Presiden CHP, Murat Bakan, menganggarkan jumlah kehadiran sekitar 50,000 orang, manakala wartawan AFP di lokasi turut melaporkan puluhan ribu membanjiri kawasan tersebut.
Dalam ucapannya, Ketua CHP, Ozgur Ozel, menegaskan orang ramai berhimpun untuk menentang apa yang disifatkan sebagai “kudeta kehakiman” menjelang perbicaraan pada Isnin yang boleh menyingkirkannya daripada jawatan.
“Kerajaan ini tidak mahu demokrasi kerana mereka tahu mereka tidak boleh menang pilihan raya dengan cara itu. Mereka juga tidak mahu keadilan, kerana jika ada keadilan, jenayah mereka tidak dapat ditutup-tutupi,” katanya.
Perbicaraan itu bertujuan membatalkan keputusan kongres CHP pada November 2023 atas dakwaan penipuan undi. Pada kongres itu, Ozel dipilih sebagai ketua baharu.
Pengkritik menyifatkan kes tersebut sebagai usaha bermotifkan politik untuk melemahkan parti tertua Turkiye itu, yang mencatat kemenangan besar ke atas parti pemerintah Presiden Recep Tayyip Erdogan (AKP) dalam pilihan raya tempatan 2024. - AFP