fb fb fb fb fb

PM New Zealand umum letak jawatan bulan depan

(Foto fail AFP)

WELLINGTON, 19 Januari- Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengumumkan akan meletak jawatan bulan depan.

Pengumuman itu dibuat dalam mesyuarat bersama anggota parti pimpinannya, Parti Buruh, di sini pada Khamis.

Peletakan jawatannya akan berkuat kuasa selewat-lewatnya 7 Februari depan dan kaukus parti itu akan mengundi pemimpin baharu, 22 Januari ini.

Pilihan Raya Umum pula akan diadakan pada 14 Oktober depan.

Katanya, keputusan mengundurkan diri dibuat selepas beliau merasakan tidak lagi mampu memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

"Bagi saya sudah tiba masanya.

"Saya tahu apa yang diperlukan dalam menggalas jawatan ini.

"Dan saya tahu saya tiada lagi keupayaan untuk menjalankan tanggungjawab tersebut," katanya.

(Jacinda Ardern/Foto fail AFP)

Beliau juga berkata tiada rahsia di sebalik peletakan jawatannya itu.

Ardern dilantik sebagai Perdana Menteri dalam kerajaan campuran pada tahun 2017, sebelum mengetuai Parti Buruh memenangi Pilihan Raya pada 2020.

Bagaimanapun, populariti beliau dan parti itu, mencatatkan penurunan dalam tinjauan pendapat baru-baru ini.-AFP

Media Baharu