fb fb fb fb fb

AS hantar pakej terbaru bantuan AS$3.5 bilion kepada Ukraine

(Kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat (AS) yang menjadi idaman tentera
Ukraine bagi menentang pencerobohan Russia/ REUTERS)

WASHINGTON, 19 Januari- Amerika Syarikat (AS) percaya bantuan persenjataan terbaru ke Ukraine mampu mengatasi dinamik perang saraf dan keadaan di barisan hadapan yang hampir tidak menyaksikan sebarang perubahan ke arah menamatkan perang.

Menerusi bantuan persenjataan AS$3.5 bilion (RM15.1 bilion) itu, AS berharap ia memberi anjakan baharu dalam pertempuran Kiev menentang tentera Rusia, kata pegawai kanan Pentagon.

Bagaimanapun, penasihat kanan dasar Pentagon, Colin Kahl, menegaskan AS masih belum bersedia menyumbang kereta kebal tempur M1 Abrams seperti yang diminta oleh Kiev.

"Saya rasa kita belum sampai ke tahap itu kerana kereta kebal M1 Abrams amat rumit untuk dikendalikan selain amat mahal, perlukan latihan yang sukar. Ia memiliki enjin jet," katanya selepas pulang dari Ukraine, semalam.

Beliau berkata demikian hanya beberapa hari menjelang persidangan pegawai kanan pertahanan dari puluhan negara di Pangkalan Udara Ramstein AS di Jerman, minggu ini, yang bertujuan menyelaras bantuan ketenteraan ke Kiev.

AS sebelum ini menyatakan komitmen keseluruhan kira-kira AS$24 bilion (RM103 bilion) bagi membantu Ukraine bertahan daripada serangan Rusia, termasuk pakej bantuan terbaru bernilai AS$3.5 bilion (RM15.1 bilion) yang diumumkan bulan ini.

Pakej persenjataan terbaru itu antara lain merangkumi Kenderaan Tempur Infantri Bradley, meriam katak, kenderaan pengangkut berperisai, peluru berpandu darat ke udara dan bekalan peluru.

Sementara itu, pegawai AS yang enggan dikenali berkata, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, dijangka akan meluluskan penghantaran kenderaan berperisai Stryker ke Ukraine.

Ketika ini, Jerman berdepan tekanan untuk menghantar kereta kebal tempur Leopard miliknya ke Ukraine, atau sekurang-kurangnya meluluskan pemindahan senjata itu dari negara ketiga.

Namun, sumber kerajaan Jerman memaklumkan bahawa negara itu hanya akan membenarkan kereta kebal buatan Jerman dihantar ke Ukraine jika AS bersetuju menghantar kereta kebalnya.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, dijangka bertemu dengan Menteri Pertahanan Jerman yang baharu, Boris Pistorius di Berlin, hari ini.

Perkembangan di barisan hadapan di Ukraine tidak banyak berubah sejak Kiev mencatat kejayaan di timur dan selatan negara itu pada separuh kedua tahun lalu. - REUTERS


(Kereta kebal M1A1 Abrams Tentera A.S. menjalani latihan ketenteraan kumpulan pertempuran
di Adazi, Latvia pada 26 Mac 2021/ REUTERS)

Media Baharu