fb fb fb fb fb

PM New Zealand kecam Netanyahu

Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon/Foto REUTERS

WELLINGTON, 13 Ogos - Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, mengeluarkan kenyataan tegas pada Rabu dengan menyifatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah "hilang arah".

Luxon mengkritik keras tindakan Israel di Gaza yang disifatkannya sebagai "sangat mengerikan", termasuk pengusiran paksa penduduk, kekurangan bantuan kemanusiaan, dan tindakan pengilhakan wilayah.

"Apa yang sedang berlaku adalah di luar batas kemanusiaan. Netanyahu telah melampaui batas," kata Luxon kepada wartawan.

Sementara itu, Luxon turut mengesahkan bahawa kerajaan beliau kini sedang menilai kemungkinan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, satu langkah yang turut sedang dipertimbangkan oleh beberapa negara lain seperti Australia, Kanada, United Kingdom, dan Perancis.

Dalam pada itu, suara protes semakin lantang di luar bangunan parlimen di Wellington.

Sekumpulan kecil penunjuk perasaan hadir melaungkan slogan agar negara itu mengiktiraf negara Palestin.

Di dalam parlimen pula, Ahli Parlimen Parti Green, Chloe Swarbrick, mencetuskan kontroversi apabila menggelar ahli politik kerajaan sebagai "pengecut" kerana enggan menyokong Rang Undang-Undang yang menggesa sekatan ke atas Israel atas dakwaan jenayah perang.

Akibat enggan menarik balik kenyataannya pada Selasa, Swarbrick telah diarahkan keluar dari dewan dan pada Rabu, sekali lagi diperintah keluar dan digantung selepas tetap enggan memohon maaf. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI