fb fb fb fb fb

EU sedia capai perjanjian plastik, tetapi bersyarat

Pencemaran plastik dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2060 jika tiada tindakan drastik diambil/Foto AFP

GENEVA, 12 Ogos - Kesatuan Eropah (EU) menyatakan kesediaannya untuk mencapai perjanjian bersejarah menangani pencemaran plastik, namun menegaskan bahawa ia tidak akan dilakukan dengan sebarang harga.

Pesuruhjaya Alam Sekitar EU, Jessika Roswall berkata, EU menyeru semua pihak untuk merapatkan jurang antara negara pengeluar minyak dan kumpulan negara yang lebih progresif, termasuk EU sendiri.

"EU bersedia untuk capai perjanjian, tapi bukan dengan sebarang harga.

"Kita perlukan plastik, tapi kita tidak perlukan pencemaran plastik. Sudah tiba masanya untuk menamatkan pencemaran plastik secepat mungkin," tegas Roswall pada sidang media di sini.

Bercakap pada sidang media di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Roswall berkata rundingan yang sedang berlangsung di Geneva ketika ini adalah peluang penting untuk mengakhiri perbezaan pandangan.

Rundingan yang akan berakhir Khamis ini, merupakan pusingan keenam selepas lima rundingan sebelum ini, termasuk satu pusingan yang sepatutnya dimuktamadkan di Korea Selatan tahun lalu, gagal mencapai kata sepakat.

Sasaran utama adalah perjanjian global yang mengikat secara sah bagi mengekang pencemaran plastik, yang dijangka tiga kali ganda menjelang 2060 jika tiada tindakan drastik diambil.

Antara isu utama yang mencetus perbezaan pandangan ialah pendekatan terhadap pengeluaran plastik dan pengurusan sisa.

Kumpulan Negara Sehaluan termasuk Arab Saudi, Kuwait, Rusia dan Iran, mahu tumpuan hanya diberikan kepada pengurusan sisa.

Sebaliknya, EU dan negara lain mahukan langkah lebih agresif, termasuk mengurangkan pengeluaran plastik secara menyeluruh dan menghapuskan bahan kimia toksik tertentu.

Menteri Alam Sekitar Denmark, Magnus Heunicke, mengakui bahawa jurang perbezaan adalah luas, tetapi menegaskan bahawa menangguhkan tindakan hanya akan menyukarkan usaha masa depan.

"Jika semua pihak berpegang teguh kepada garis merah masing-masing, perjanjian adalah mustahil.

"Kita mesti berunding dan berkompromi. Ini bukan soal capai perjanjian pada apa jua harga, tetapi perjanjian yang mengikat secara sah dan kukuh untuk masa depan kita bersama," kata Heunicke.

EU juga menekankan bahawa sebarang perjanjian harus menyediakan rangka kerja yang jelas kepada sektor perniagaan agar mereka dapat menyesuaikan operasi dalam kerangka global yang seragam. - AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI