fb fb fb fb fb

59 penduduk Gaza terkorban dalam serangan terbaru Israel, 5 lagi maut akibat kebuluran

Dalam serangan terbaru, tentera Israel membunuh empat penduduk Palestin yang sedang menunggu bantuan di timur Deir al-Balah di Gaza tengah/Foto AFP

GAZA CITY, 13 Ogos - Sekurang-kurangnya 59 lagi penduduk Palestin terbunuh dan ramai cedera akibat serangan tentera Israel di Gaza pada Selasa, menurut sumber perubatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam serangan terbaru, tentera Israel membunuh empat penduduk Palestin yang sedang menunggu bantuan di timur Deir al-Balah di Gaza tengah.

Di kejiranan Sheikh Radwan di Gaza City, Israel membunuh dua penduduk Palestin dan mencederakan lebih 50 orang selepas menyerang orang ramai di sebuah pasar.

Di barat laut, tentera Israel membunuh dua penduduk Palestin yang sedang menunggu bantuan berhampiran pusat pemeriksaan Zikim.

Di Gaza City, enam penduduk Palestin terbunuh dalam serangan ke atas dua kumpulan orang awam, empat di pasar Maghribi yang sesak di Jalan Al-Thalathini, dan dua lagi berhampiran Persimpangan Abbas di barat bandar itu.

Tentera Israel turut menyerang beberapa rumah dan pangsapuri kediaman di Gaza City,mengorbankan 13 orang dan mencederakan ramai yang lain.

Sembilan lagi terbunuh dalam beberapa serangan Israel yang menyasarkan kumpulan orang awam di utara Gaza City.

Tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menunggu penghantaran bantuan berhampiran pusat pengagihan di Wadi Gaza, Gaza tengah, mengorbankan seorang kanak-kanak dan mencederakan 11 orang.

Empat penduduk terbunuh akibat tembakan tentera Israel di satu lagi pusat pengagihan berhampiran Koridor Netzarim di Gaza tengah, manakala empat lagi maut dalam serangan sama di Khan Younis di Gaza selatan.

Tentera Israel turut menyasarkan sebuah kenderaan awam di bandar Deir al-Balah di Gaza tengah, menyebabkan dua penduduk Palestin terbunuh.

Lima mayat dibawa ke Kompleks Perubatan Nasser, bersama beberapa yang cedera, selepas serangan Israel menyasarkan sebuah khemah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Al-Mawasi, Khan Younis, lapor agensi berita Wafa.

Tujuh lagi maut dalam serangan Israel yang menyasarkan kumpulan orang awam dan khemah-khemah yang menempatkan keluarga pelarian di bandar yang sama.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza pada Selasa memaklumkan lima orang, termasuk dua kanak-kanak, maut akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan teruk dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kematian berkaitan kebuluran sejak Oktober 2023 meningkat kepada 227 orang, termasuk 103 kanak-kanak.

Israel berdepan kecaman hebat berhubung perang genosidnya di Gaza yang telah meragut hampir 61,600 nyawa sejak Oktober 2023.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangannya di wilayah tersebut. - BERNAMA

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI