SINGAPURA, 16 Mei- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengadakan mesyuarat kabinet pada Khamis selepas memegang jawatan itu dan berjanji untuk mengekalkan prestasi ekonomi yang dimiliki berikutan persekitaran global yang tidak menentu.
Selepas mengangkat sumpah pada malam Rabu, beliau menerima ucapan tahniah daripada pelbagai pemimpin dunia.
Wong, 51, mengambil alih jawatan Perdana Menteri keempat Singapura daripada Lee Hsien Loong, 72, yang kini sebagai menteri kanan dalam kabinet Wong.
"Tumpuan kini perlu diberikan kepada menyatukan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global dengan tujuan memastikan rakyat tidak akan diketepikan dalam mengejar kemajuan," lapor akhbar tempatan The Straits Times.
"PM Wong mesti memberi inspirasi kepada rakyat Singapura khususnya untuk percaya bahawa kita pernah melakukannya sebelum ini, dan kita boleh melakukannya sekali lagi, bersama-sama."
Wong berkata semasa perasmiannya bahawa dunia berada dalam keadaan tidak menentu selain berhadapan ketegangan geopolitik.
Beliau juga mahu Singapura berusaha untuk "mengukuhkan persahabatan dengan semua, sambil menegakkan hak dan kepentingan kita".
Kedudukan Singapura adalah tinggi di peringkat antarabangsa selain dikenali di seluruh dunia. Negara itu akan mengukuhkan perkongsian dan terus melibatkan diri dengan Amerika Syarikat dan China.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken berkata, negara itu berharap dapat bekerjasama dengan Wong "untuk mengukuhkan lagi perkongsian strategik antara AS-Singapura".
China juga percaya hubungan China-Singapura akan terus maju sepanjang tempoh pentadbiran Wong, "membawa lebih banyak sokongan kepada rakyat kita dan memberi sumbangan kepada keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau".
Kementerian Luar Taiwan pula menyifatkab hubungan antara Taiwan dan Singapura adalah erat dan mesra selain berharap "kedua-dua pihak akan terus mengembangkan hubungan kerjasama."
Perdana Menteri Britain Rishi Sunak pula berkata, hubungan antara UK dan Singapura "akan terus berkembang maju pada tahun-tahun akan datang".
Malaysia juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Wong.
Semalam beliau sempat bercakap menerusi telefon dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata, "kami berharap dapat memperdalam lagi perkongsian kami dalam bidang kepentingan bersama, termasuk pembangunan ekonomi, pendidikan dan perdagangan."
Wong juga berharap supaya dapat bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin dunia itu untuk meningkatkan kerjasama dua hala dan serantau.
"Banyak yang boleh kita lakukan dengan negara yang berfikiran sama untuk mencapai hasil menang-menang, dan mengemudi pembangunan ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran berterusan untuk Asia dan dunia," tulis Wong.- REUTERS