PARIS, 6 Disember- Presiden Perancis, Emmanuel Macron, pada Khamis berjanji untuk melantik Perdana Menteri baharu dalam tempoh beberapa hari akan datang selepas peletakan jawatan Michel Barnier, yang mana kerajaannya tumbang akibat undi tidak percaya di parlimen.
Dalam ucapannya, Macron menolak desakan daripada pihak lawan agar beliau meletak jawatan, dengan menyatakan beliau akan terus berkhidmat sebagai presiden sepenuhnya sehingga mandatnya tamat pada 2027.
Beliau turut mengecam kumpulan sayap kanan dan kiri tegar Perancis kerana bersatu dalam gerakan 'barisan antirepublik' untuk menjatuhkan kerajaan.
"Saya akan melantik seorang perdana menteri dalam beberapa hari akan datang," katanya, sambil menambah, individu tersebut akan ditugaskan untuk membentuk kerajaan dengan keutamaan untuk meluluskan bajet.
Tegas menolak desakan untuk meletak jawatan, beliau menambah: "Mandat yang anda berikan kepada saya secara demokratik (dalam pilihan raya 2022) adalah mandat lima tahun dan saya akan melaksanakannya sepenuhnya hingga ke penghujungnya."
Beliau turut menuduh parti sayap kanan Rassemblement National (RN) pimpinan Marine Le Pen sedang mengintai pilihan raya presiden 2027, sambil menuduh parti itu cuba menimbulkan kekacauan.
"Mereka tidak peduli tentang kehidupan anda, jujurlah. Mereka hanya fikirkan satu perkara, iaitu pilihan raya presiden," kata Macron.-AFP