fb fb fb fb fb

PM Australia galak individu bawah 16 tahun cari sokongan susulan larangan media sosial

Anthony Albanese/ REUTERS

CANBERRA, 10 Disember - Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mahu individu bawah 16 tahun mendapatkan bantuan daripada ibu bapa, guru atau perkhidmatan sokongan seperti Headspace dan Kids Helpline sekiranya mereka mempunyai sebarang persoalan atau memerlukan sokongan sepanjang tempoh peralihan larangan media sosial.

Anthony Albanese, menyampaikan mesej khas menerusi rakaman video yang ditujukan kepada kumpulan itu berikutan Australia mula menguatkuasakan larangan media sosial pertama seumpamanya di dunia.

"Hai para pelajar, ini Perdana Menteri. Saya ingin bercakap terus kepada anda mengenai sesuatu yang sangat penting. Mulai 10 Disember, jika anda berusia bawah 16 tahun, anda tidak lagi dibenarkan mempunyai akaun media sosial.

"Anda lebih memahami sendiri bagaimana rasanya membesar dengan algoritma, suapan kandungan tanpa henti dan tekanan yang datang bersamanya. Sebab itulah kami mengambil langkah ini untuk menyokong anda.

"Jika anda ada soalan, silakan bertanya. Bercakaplah dengan ibu bapa, guru dan rakan anda. Dan jika anda rasa memerlukan lebih banyak sokongan, Headspace dan Kids Helpline sentiasa bersedia membantu," katanya.

Dalam pada itu beliau juga mahu para pelajar memanfaatkan cuti persekolahan bersama keluarga dan rakan-rakan.

"Paling utama, manfaatkan cuti persekolahan yang bakal tiba daripada menghabiskannya dengan menatal telefon. Sertai sukan baharu, belajar alat muzik baharu atau baca buku yang sudah lama tersimpan di rak anda. Luangkan juga masa berkualiti bersama rakan dan keluarga secara bersemuka. Selamat bercuti," katanya lagi.

Australia menjadi negara pertama mengenakan larangan penggunaan media sosial terhadap kanak-kanak bawah 16 tahun bermula Rabu (10 Disember), dengan akses kepada platform seperti TikTok, YouTube milik Alphabet serta Instagram dan Facebook milik Meta disekat.

Sepuluh platform terbesar diarahkan menyekat akses pengguna bawah umur bermula tengah malam pada Selasa atau berdepan denda sehingga A$49.5 juta (AS$33 juta) bawah undang-undang baharu itu.

Bagaimanapun peraturan tersebut menerima kritikan syarikat teknologi utama dan kumpulan pejuang kebebasan bersuara, namun disambut baik oleh ibu bapa serta penggiat advokasi kanak-kanak.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI