HANGZHOU, 10 Disember - Seekor beruang matahari atau beruang madu dilihat menyerang jurulatihnya ketika satu persembahan secara langsung di sebuah taman hidupan liar di China.
Menerusi rakaman video penonton yang dimuat naik di media sosial, insiden itu berlaku di Taman Safari Hangzhou di Hangzhou, China, pada 6 Disember lalu.
Perkara itu turut disahkan pihak taman berkenaan dalam satu pengumuman yang dimuat naik di platform media sosial China, Weibo.
Pihak taman memaklumkan bahawa pengendali dan haiwan mamalia yang terlibat dalam insiden berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beruang matahari, merupakan spesies beruang terkecil di dunia. Ia memiliki bulu berwarna hitam dan tanda seperti ladam kuda di bahagian dada berwarna merah jingga.
Ia juga mempunyai keupayaan memanjat dan menghabiskan kebanyakan masa dengan berada di atas dahan. Haiwan yang suka bersendiri itu mempunyai tabiat makan serba boleh atau dikenali sebagai omnivor (memakan daging dan tumbuhan).
Jangka hayat beruang matahari dianggarkan kira-kira 25 tahun. Ia juga sering menjadi tumpuan pemburu bagi mendapatkan pundi hempedunya yang dipercayai mempunyai khasiat tersendiri bagi sesetengah masyarakat.- REUTERS