fb fb fb fb fb

Duta Kanada ke AS umum tamat tugas pada 2026

Kirsten Hillman/ REUTERS

QUEBEC, 10 Disember - Duta Kanada ke Amerika Syarikat (AS) Kirsten Hillman, memaklumkan bahawa beliau akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada tahun 2026.

Hillman telah berkhidmat sebagai Duta Kanada ke Amerika Syarikat selama lebih lapan tahun dan berpangkalan di Washington, D.C.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, dalam satu kenyataan memuji kecerdasan, ketegasan dan keupayaan diplomasi Hillman, sambil menyatakan usaha beliau telah membantu mengukuhkan hubungan ekonomi dan keselamatan Kanada–Amerika Syarikat serta meletakkan asas bagi proses semakan Perjanjian Perdagangan CUSMA yang bakal berlangsung.

"Sebagai salah seorang duta yang paling lama berkhidmat dalam sejarah negara kita, penglibatan beliau yang konstruktif melibatkan semua cabang Kerajaan AS serta para pemimpin di seluruh Amerika dan Kanada telah menghasilkan keputusan penting untuk rakyat Kanada.

"Dalam tempoh perubahan hubungan dua hala, Hillman dengan tegas mempertahankan nilai dan kepentingan Kanada, sambil mempromosikan masa depan lebih kukuh untuk para pekerja yang bergantung pada perdagangan dan perniagaan yang berdepan ketidaktentuan global baharu.

"Ketika beliau bersiap untuk menamatkan peranannya pada tahun baharu nanti, saya amat menghargai nasihat beliau yang tidak ternilai serta mengucapkan terima kasih atas rekod perkhidmatan cemerlangnya kepada semua rakyat Kanada," menurut kenyataan itu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI