fb fb fb fb fb

PKK setuju letak senjata,tuntut pembebasan Ocalan

Gambar pemimpin utama Parti Pekerja Kurdistan (PKK), Abdullah Ocalan / Foto REUTERS

ANKARA, 2 Mac-Kumpulan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang diharamkan di Turkiye, mengumumkan gencatan senjata serta-merta pada Sabtu, menurut sebuah agensi berita yang dekat dengannya.

Keputusan itu diambil sebagai memenuhi seruan pemimpinnya yang dipenjarakan, Abdullah Ocalan, untuk melucutkan senjata, sekali gus menandakan langkah besar ke arah penamatan pemberontakan selama 40 tahun.

Ocalan pada Khamis menyeru PKK supaya meletakkan senjata dan membubarkan organisasi itu, satu langkah yang mendapat sokongan daripada Presiden Tayyip Erdogan serta parti pembangkang pro-Kurdish, DEM.

Gencatan senjata berkenaan berpotensi membawa kesan besar kepada rantau Asia Barat sekiranya ia berjaya menamatkan konflik yang telah meragut lebih daripada 40,000 nyawa sejak PKK, yang berpusat di pergunungan utara Iraq, melancarkan pemberontakan bersenjata pada tahun 1984.

Ia juga boleh memberi manfaat politik kepada Erdogan dan membuka peluang bersejarah untuk membawa keamanan serta pembangunan di tenggara Turkiye, yang selama ini terjejas akibat keganasan dan ketidakstabilan ekonomi.

PKK menyatakan bahawa ia berharap Ankara akan memberikan lebih banyak kebebasan kepada Ocalan, yang berada dalam hampir keseluruhan pengasingan sejak 1999, bagi membolehkannya memimpin proses pelucutan senjata.

Kumpulan itu menegaskan bahawa syarat politik dan demokrasi yang sewajarnya perlu diwujudkan agar proses tersebut berjaya.

“Kami, sebagai PKK, bersetuju sepenuhnya dengan kandungan seruan ini dan menyatakan bahawa kami akan mematuhinya serta melaksanakannya,” menurut kenyataan kumpulan itu yang disiarkan oleh agensi berita Firat.

PKK juga menyatakan kesediaannya untuk mengadakan kongres seperti yang diminta oleh Ocalan, tetapi menegaskan bahawa situasi keselamatan yang kondusif mesti diwujudkan untuk membolehkan pemimpinnya “mengarah dan menguruskan” proses (pelucutan senjata) tersebut secara peribadi.

Sementara itu,Presiden Turkiye, Erdogan menegaskan bahawa negara itu akan meneruskan operasi ketenteraan sekiranya proses pelucutan senjata yang dirancang gagal.

Kenyataan berkenaan dibuat Erdogan ketika dalam satu majlis berbuka puasa bersama keluarga syahid di sini pada hari pertama Ramadan.

“Jika janji yang dibuat sentiasa ditangguhkan, jika ada cubaan untuk memperdaya dengan perubahan nama dan taktik lain, kami tidak boleh dipersalahkan atas apa yang berlaku selepas itu,” kata Erdogan.

“Jika perlu, kami akan meneruskan operasi ketenteraan yang masih berjalan sehingga setiap pengganas dihapuskan,” tambahnya, sambil menegaskan bahawa Ankara juga akan mengakhiri ancaman rentas sempadan.

Naib Presiden Cevdet Yilmaz sebelum ini menyatakan di X bahawa pembubaran PKK “tanpa sebarang rundingan” akan membuka era baharu bagi Turki.

Dalam pada itu, Parti DEM mendesak kerajaan Turkiye agar mengambil langkah ke arah pendemokrasian, dengan menyatakan kepada Reuters bahawa respons kerajaan adalah kritikal untuk proses tersebut.

PKK menuntut agar Ocalan diberikan “kebebasan fizikal, akses kepada kehidupan dan keadaan kerja yang baik, serta hubungan tanpa sekatan dengan sesiapa sahaja, termasuk rakan-rakannya.”

Namun, sama ada Ankara akan mempertimbangkan permintaan ini masih tidak jelas. Menteri Kehakiman Yilmaz Tunc berkata kepada CNN Turk pada Jumaat bahawa tiada perbincangan mengenai pengampunan, tahanan rumah atau pilihan lain, dan menegaskan bahawa tiada rundingan sedang berlangsung.

Para penganalisis percaya bahawa Erdogan, yang telah berusaha berulang kali untuk menamatkan konflik itu, menumpukan perhatian kepada manfaat politik dalam negeri yang boleh diperoleh daripada keamanan ketika beliau berusaha untuk melanjutkan pemerintahan dua dekadnya sejak 2008.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD