fb fb fb fb fb

37 maut, 47 cedera nahas dua bas di Bolivia

FOTO AFP

LA PAZ, 2 Mac- Sekurang-kurangnya 37 orang maut termasuk empat kanak-kanak dalam kemalangan membabitkan dua bas penumpang di lebuh raya selatan Bolivia awal pagi Sabtu.

Menurut polis, insiden berhampiran bandar Uyuni di wilayah Potosi itu turut mengakibatkan 41 individu cedera dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

"Setakat ini, kami mengesahkan 37 kematian," kata Komander Polis Wilson Flores kepada AFP.

Antara mangsa yang terkorban ialah dua warga asing iaitu seorang wanita Peru berusia 80 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan Jerman berusia tiga tahun.

Tiga lagi mangsa kanak-kanak berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Nahas berlaku di jalan sempit dua lorong ketika salah sebuah bas dalam perjalanan ke bandar Oruro, lokasi berlangsungnya Karnival Oruro hujung minggu ini iaitu antara festival terbesar di Amerika Latin.

Punca kemalangan masih dalam siasatan, namun polis memaklumkan salah sebuah bas telah memasuki lorong bertentangan.

Salah seorang pemandu yang terselamat dalam keadaan parah didapati mempunyai "bau alkohol" dan ujian darah telah dijalankan bagi menentukan tahap kandungan alkohol dalam badannya.

Bolivia merekodkan purata 1,400 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun dengan jalan pergunungannya dikenali sebagai antara paling berbahaya di dunia.

Kejadian terbaharu itu berlaku kurang dua minggu selepas sekurang-kurangnya 30 orang maut apabila sebuah bas terjunam ke gaung sedalam 800 meter di selatan Bolivia antara bandar Potosi dan Oruro.

Pada Januari lalu, 19 orang turut maut dalam kemalangan bas di kawasan berhampiran Potosi. -AFP

SITI AISHAH MD ISA