fb fb fb fb fb

Pisang ditampal di dinding terjual AS$6.2 juta

FOTO AFP

NEW YORK, 21 November- Sebiji pisang yang ditampal ke dinding menggunakan pita pelekat berwarna perak, karya seni konseptual provokatif oleh artis Itali, Maurizio Cattelan, dijual pada harga AS$6.2 juta dalam lelongan di Sotheby's pada Rabu.

Karya berjudul "Comedian" itu pertama kali dipamerkan pada acara Art Basel di Miami Beach pada tahun 2019, mencetuskan kontroversi dan perdebatan tentang definisi seni.

Setelah lima tahun, Cattelan mempersembahkan kembali karya tersebut dengan pisang yang baru ditampal di dinding, diikuti dengan tujuh pembida berusaha mendapatkan karya unik berkenaan.

Pengasas kripto kelahiran China, Justin Sun, membeli karya tersebut pada harga jauh melebihi jangkaan awal lelongan, iaitu antara AS$1 juta hingga AS$1.5 juta.

Sun berkata karya itu mewakili fenomena budaya yang menghubungkan seni, 'meme', dan komuniti mata wang kripto.

Sun juga menyatakan niatnya untuk makan pisang tersebut sebagai sebahagian pengalaman seni unik, mengikut tradisi persembahan asal, pisang pertama dimakan oleh seorang artis persembahan ketika pameran di Miami pada 2019.

Selain karya itu, Cattelan terkenal dengan karya berunsur kelucuan dan provokatif lain, termasuk tandas emas 18 karat bertajuk "America" dan patung paus yang terkena meteor bertajuk "The Ninth Hour."

Lelongan itu mencerminkan perdebatan berterusan tentang pasaran seni global, yang sering dikritik sebagai spekulatif dan tidak memberi manfaat kepada artis. -AFP

2111 BD SENI PISANG 6JUTA 2
FOTO AFP

SITI AISHAH MD ISA