LOS ANGELES, 21 November- Ribut 'siklon bom' melanda bahagian barat Amerika Syarikat pada Rabu mengakibatkan sekurang-kurangnya dua kematian dan lebih setengah juta rumah terputus bekalan elektrik.
Ribut dengan angin kencang sehingga 145 kilometer sejam melanda kawasan barat Laut Pasifik, meranapkan pokok dan talian elektrik.
Hujan lebat sehingga lapan sentimeter dilaporkan di Oregon, Washington dan California Utara, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.
Di Lynnwood, berhampiran Seattle, seorang wanita maut akibat ditimpa pokok di sebuah kem gelandangan, manakala seorang lagi mangsa terbunuh selepas rumahnya di Bellevue dihempap pokok tumbang.
Jabatan Bomba Bellevue memberi amaran kepada penduduk supaya berlindung di tingkat paling bawah rumah mereka dan menjauhi tingkap.
Kira-kira 500,000 kediaman di Washington terputus bekalan elektrik pada pagi Rabu, menurut laman web Poweroutage.us.
Ribut pada mulanya melanda Washington kini bergerak ke Oregon dan California dengan ramalan hujan lebih satu kaki yang boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan ribut salji di kawasan pergunungan.
"Pusat Ramalan Cuaca meramalkan hujan antara 12 hingga 16 inci di California Utara dan barat daya Oregon menjelang Jumaat," kata kenyataan itu.
Kawasan pergunungan Cascades dan pergunungan California Utara dijangka menerima salji tebal dengan beberapa kaki salji boleh terkumpul disertai angin kencang yang berpotensi menyebabkan keadaan ribut salji.
Walaupun pusat ribut dijangka kekal jauh dari pantai barat, pembentukan dan penguatannya yang pesat menjadikannya digelar 'siklon bom.' -AFP